Sebagai seorang ibu, pasti kita tergamam dengan jawapan yang diberi, bukan? Mana tidaknya, kita sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anak, segala tingkah lakunya kita perhatikan. Malangnya kita terlupa bahawa mereka juga sedang memerhatikan kita tanpa kita sedari. Awas! Kita sedang diperhatikan.
“It's not only children who grow. Parents do too. As much as we watch to see what our children do with their lives, they are watching us to see what we do with ours. I can't tell my children to reach for the sun. All I can do is reach for it, myself.”
Joyce Maynard
Sedar atau tidak, sebagai ibubapa, kita perlu peka dengan tindakan kita terlebih dahulu sebelum menegur dan memarahi anak-anak. Rutin harian kita merupakan salah satu matapelajaran mereka dalam mematangkan diri. Kita sering kesal dengan tindakan anak-anak yang tidak mendengar kata serta melakukan sesuatu yang tidak disenangi. Segala tindak-tanduk anak-anak adalah bermula dari setiap pemerhatian mereka sejak kecil.
Sebagaimana dialog di atas, Balqis, seorang anak kecil, sebenarnya memerhati dan meniru tindakan ibunya tanpa mengetahui sama ada perbuatan itu, baik atau sebaliknya.
Pasti ramai dikalangan ibubapa seringkali gusar untuk mengawal tingkahlaku mereka agar tidak melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya yang akan dipertontonkan oleh anak-anak mereka. Mana mungkin kita dapat mengelak dari melakukan kesilapan. Sedangkan jelas janji syaitan untuk menyesatkan Adam dan keseluruhan zuriatnya dalam surah al-Hijr ayat 39 dan 40 yang bermaksud;
39. Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan memperelokkan Segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan Aku akan menyesatkan mereka semuanya,
40. "Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu Yang dibersihkan dari sebarang syirik".
Sekalipun begitu tegas janji syaitan pada ayat 39 surah al-Hijr untuk menyesatkan keseluruhan keturunan Adam, pasti kita gerun mendengar dan ngeri membayangkannya, namun, jangan dilupa pada syarat yang ditetapkan oleh musuh utama manusia itu pada ayat yang seterusnya. Maka berusalah untuk menjalani kehidupan yang senantiasa berpaksi pada aturan-Nya. Sekalipun kita melakukan kesilapan, haruslah diingat, usaha kita melakukan yang terbaik akan diambil kira oleh Allah SWT.
Usaha bagaimana yang dimaksudkan? Sudah semestilah usaha membaik pulih diri untuk menampilkan sesuatu yang terbaik. Tidakkah kita terfikir, untuk menjadi yang terbaik pasti banyak rintangan dan halangannya?
Iya. Itulah yang saya maksudkan. Tegar menempuh ujian dan rintangan untuk mencapai suatu kebenaran. Sabar dan tidak berputus asa yang menjadi ukuran di sisi Allah SWT.
Qudwatul Hasanah
Allah SWT telah menetapkan dasar samawi melalui perantaraan rasul-rasul-Nya bagi menyebarkan perutusan langit kepada sekalian manusia di dunia yang bersifat dengan kemuncak kesempurnaan. Sebagaimana yang tertulis dalam kitab yang terpelihara sehingga akhirat mengenai contoh tauladan yang paling utama bagi manusia iaitu kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW. Firman-Nya dalam surah al-Ahzab ayat 21:
Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
Sebagaimana Saidatina Aisyah r.a pernah ditanya mengenai sifat dan tingkahlaku baginda Rasulullah SAW, maka Aisyah menjawab dengan maksud:
“ Adalah kelakuannya (Nabi Muhammad SAW) al-Quran (apa sahaja yang disebut di dalam al-Quran)
Ringkas bukan jawapan Aisyah? namun maksudnya begitu menyeluruh kerana sifat baginda meliputi keseluruhan aspek ajaran al-Quran yang merupakan amalan dan tingkahlaku baginda Rasulullah SAW.
Jadi, ibubapa yang meneladani Qudwatun Hasanah Rasulullah, akan melahirkan generasi pejuang amar maaruf dan nahi mungkar dalam mengorak langkah menerusi dunia yang penuh mehnah!
Pendidikan tidak formal anak-anak di rumah akan diterajui oleh ibubapa yang secara tidak langsung ia disampaikan melalui dua kaedah utama iaitu Lisanul Maqal (teori) dan Lisanul Hal (Parktikal). Pada dasarnya, mereka perlu didedahkan dengan pengetahuan tauhid kepada Allah SWT dan asas-asas Islamiah dalam apa cara sekalipun. Sekalipun sukar, ia tidak mustahil. Sebagaimana yang kita sedari, perkembangan otak anak-anak seawal usia, sangat aktif dan pantas. Ia seperti saham terpenting bagi kepada ibubapa untuk melabur agar keuntungan yang diperolehi menguntungkan malah membanggakan. Ia akan menjadi satu tamparan yang hebat pada ibubapa jika peluang keemasan ini dilepaskan begitu sahaja.
Role Model
Proses pembelajaran tidak formal anak-anak perlu dijelaskan terlebih dahulu melalui kaedah teori, iaitu melalui peringkat mendengar dan melihat. Mereka dengar dan lihat maka berlakulah kaedah yang kedua iaitu Praktikal. Sebagaimana unutk mengajar anak-anak peka dan sensitif tatkala tiba waktu solat fardu, ibubapa terlebih dahulu menjadi role model terbaik pada mereka. Anak-anak cenderung untuk meniru setiap gerakan ibubapa mereka terutama pada sesuatu yang kerap dilakukan. Galakkan minat mereka dengan berjemaah bersama-sama. Disamping itu jangan lupa untuk menerapkan kata-kata nasihat dan pesanan yang membina. Benarlah pepatah inggeris menyatakan “Don't worry that children never listen to you; worry that they are always watching you.”
Keberhasilannya akan terbukti apabila anda sebagai ibubapa terus-menerus berusaha serta bersabar dalam pelaburan ini. Sesungguhnya anak-anak merupakan amanah dari Allah SWT untuk dijaga dan dipelihara dengan sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak, adakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya atau kita telah mengkhianatinya.
0 comments:
Post a Comment